Search This Blog

Tuesday, February 12, 2008

Hakikat sebenar Yazid Ibnu Muawiyah

Di satu sudut lain pula di dalam kitab-kitab sejarah, catatannya adalah berlainan dari apa yang tersebar dalam masyarakat umat Islam umumnya. Antaranya apa yang dikemukakan oleh Ibnu Kathir bahawasanya bilamana Muhammad bin Ali Al-Hanafiah (anak Ali r.a.) diajak supaya memberontak terhadap Yazid maka beliau berkata, "Sesungguhnya saya telah datang menemuinya dan tinggal bersamanya beberapa lama maka saya dapati ia seorang yang kuat menjaga solat, suka kepada kebaikan, selalu bertanya tentang masalah feqah dan berpegang teguh kepada sunnah. (Al-Bidayah Wan Nihayah jilid 8 hal. 233).

Sejarawan Al-Baladhzuri telah mengemukakan satu riwayat bahawa Amir bin Mas'ud Al-Jumahi berkata,"Ketika saya berada di Makkah, datang seorang membawa berita tentang kematian Mu'awiyah r.a.. Kami pun bangun dan pergi menemui Ibnu Abbas r.a. yang ketika itu juga berada di Makkah, di samping beliau ada beberapa orang sedang duduk. Hamparan hidangan sudahpun dibuka tetapi makanan belum lagi dihidangkan pada ketika itu. Maka kamipun berkata kepadanya, "Hai Ibnu Abbas! Utusan datang membawa berita kematian Mu'awiyah. Mendengar berita itu beliau terdiam beberapa lama. Kemudian beliau pun berkata, "Ya Allah! Perluaskanlah rahmat untuk Mu'awiyah. Demi Allah, bukanlah dia sama seperti orang-orang sebelumnya dan tidaklah pula akan datang sesudahnya orang sepertinya. Sesungguhnya anaknya Yazid adalah salah seorang yang soleh dari ahli keluarganya. Oleh itu hendaklah kamu berada di tempat masing-masing dan serahkan ketaatan dan bai'ah kamu kepadanya". (Ansabul Ashraf jilid 2 hal 2).

Imam Ali Zainal Abidin walaupun pernah beberapa lama bersama dengan Yazid selepas kesyahidan ayahnya Husain r.a. serta keluarganya di Karbala namun tidak ada satupun riwayat daripada beliau yang menyebutkan bahawa Yazid ada melakukan perkara-perkara buruk seperti minum arak, meninggalkan solat bahkan beliau adalah orang yang memberikan taat setia kepada Yazid sehingga enggan untuk turut sama dalam pemberontakan terhadap Yazid selepas itu. (Mawaqiful Mu'aradhah hal.383)

Antara sahabat agung yang pernah bersama Yazid adalah Nu'man bin Basyir dan Abdullah bin Jaafar bin Abi Talib r.a. Mereka berdua juga tidak pernah menyebutkan bahawa Yazid melakukan amalan-amalan maksiat tersebut sebagaimana yang disebarkan oleh orang-orang seperti Abu Mikhnaf.

Kitab-kitab sejarah juga menggambarkan kesetiaan sahabat-sahabat r.a. yang masih hidup kepada kepimpinan Yazid dan keengganan mereka untuk memberontak terhadap Yazid walaupun didorong supaya berbuat demikian bahkan lebih dari itu mereka memberi nasihat pula kepada golongan yang ingin memberontak termasuk kepada Husain r.a. sendiri. Antara mereka adalah Abu Sa'id Al Khudri, Jabir bin Abdullah, Ibnu Umar, Ibnu Abbas, Abu Waqid Al-Laithi r.a. dan lain-lain lagi.(lihat Al-Bidayah Wan Nihayah jilid 8 hal 176, Tarikh Thabari jilid 4 hal 254 dan 288).

Daripada:
http://abunaaielah.blogspot.com/2008/01/di-sebalik-tragedi-muharram.html

No comments: